KUALA LUMPUR, Nov 16 — Barisan Nasional (BN) Selangor mendakwa pelantikan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) sebagai penasihat ekonomi Selangor sebagai senjata halus bagi mengukuhkan kedudukan naib presiden parti itu, Azmin Ali di negeri tersebut.
Sehubungan itu bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Mohamad Satim Diman berkata, strategi itu diatur setelah percaturan untuk melantik Azmin sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah telah ditolak.
Azmin yang juga ahli parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa kemudiannya dilantik sebagai Ketua Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Khalid, kata Satim.
Mentri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri itu dengan bayaran khidmat nasihat RM1 sebulan, Jumaat lalu.
Semalam Anwar menjelaskan, antara sebab beliau menerima jawatan penasihat ekonomi Selangor adalah kerana mahu mempertahankan negeri itu daripada dirampas semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau akan membantu Khalid dalam menangani beberapa isu yang wajar diberi perhatian seperti soal dana pertumbuhan ekonomi, pengurusan dan pelaburan di negeri berkenaan.
Satim menambah, jawatan mentri besar adalah satu platform yang amat baik untuk masa depan politik Azmin di Selangor.
“Maka itu pelantikan sebagai penasihat ekonomi adalah langkah percaturan pertama di Selangor sama seperti apa yang dilakukan oleh Anwar di Sabah terhadap Datuk Dr. Jeffrey Kitingan,” kata Satim yang juga Adun Sri Serdang kepada Utusan Malaysia.
Beberapa akhbar lain juga menyiarkan kenyataan itu hari ini.
Satim juga berpendapat bahawa jawatan itu juga sebagai lanjutan daripada strategi baru Anwar melancarkan serangan peribadi terhadap perdana mentri, Datuk Seri Najib Tun Razak hingga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
Katanya, jika ekonomi Selangor hancur sudah pasti ekonomi negara turut hancur menyebabkan rakyat menderita dan memberontak menuntut keadilan.
Bagi Anwar, dakwa beliau, jika ini berlaku, suasana itu amat bagus untuk melancarkan gerakan mengambil alih kuasa dan terus menutup kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
“Kita juga melihat jawatan penasihat ekonomi itu hanya satu alasan kerana Anwar bimbang dengan ketidakstabilan kuasa politik di Selangor iaitu antara PKR-PAS serta isu Adun dari PKR keluar parti seperti wakil rakyat Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah baru-baru ini.
“Justeru itu, Anwar terpaksa mengambil alih beberapa peranan politik dari Khalid walaupun Anwar hanya memiliki ijazah dalam bidang pengajian Melayu berbanding mentri besar dalam jurusan ekonomi,” kata Satim lagi.
Satim juga percaya, jawatan penasihat itu untuk kepentingan politik Anwar sama seperti cara dan taktik beliau semasa berada dalam Umno dulu.
Ekoran itu beliau pasti, Anwar akan membuat pengumuman untuk memberi “gula-gula” kepada rakyat Selangor bagi menarik perhatian mereka sekali gus mengalih pandangan terhadap kes liwatnya.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan
terima kasih di atas komen anda.